Skip to main content

Inovasi Baru | Pelajar cipta lampu kulit kayu manis - Nasional ( Sumber : Sinar Harian )



18 Jun 2013

GEORGETOWN - Sekumpulan pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang, Sungai Dua, dekat sini mempamerkan kreativiti tersendiri dengan mencipta lampu kulit kayu manis untuk dipertandingkan di Konvensyen Program Usahawan Muda ke-15 peringkat negeri di sini hari ini.

Dibarisi Nashrul Iylmi Mohd Noor, Siti Aisyah Ahmad dan Mohd Yazid Jumanat, hasil inovasi itu memenangi anugerah produk terbaik menewaskan 42 sekolah lain yang berentap dalam konvensyen anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang itu.

Ketua kumpulan itu, Nashrul Iylmi berkata lampu yang diberi nama 'D3 Romantika' itu diperbuat daripada kertas berasaskan kulit kayu manis dan daun pandan serta dapat memberi aroma yang istimewa sebaik sahaja dipasang.

"Kertas ini sangat keras dan tahan lama. Kami buat sendiri kertas itu guna campuran kulit kayu manis, daun pandan dan beberapa bahan semula jadi lain serta tidak guna bahan kimia," katanya kepada pemberita di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Katanya 13 buah lampu berjaya dijual dengan harga RM55 seunit dan mereka bercadang untuk mempelbagaikan produk dengan mencampurkan ekstrak bahan lain seperti lavender dan vanila pada masa akan datang.

"Kami memang ingin pelbagaikan produk tapi tidak cukup masa. Sebuah lampu ambil masa lebih dari dua minggu untuk disiapkan. Kalau komposisi bahan campuran salah ia jadi tidak berkualiti," katanya dan menambah mereka turut mendapat khidmat nasihat Pensyarah Pusat Pengajian Seni, Adnan Mat untuk rekaan itu.

Dalam pertandingan itu, pelajar diminta membuat penyata kewangan, laporan jualan dan membentangkn laporan syarikat mereka kepada Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, Prof Madya Dr Anees Janee Ali selaku ketua juri.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Pematang Pauh muncul johan keseluruhan selepas menyapu bersih 10 anugerah daripada 12 kategori yang dipertandingkan menerusi rekaan jam estetika yang diperbuat daripada perca kain.

Pemenang membawa pulang trofi, piala pusingan, wang tunai dan sijil penyertaan.

Terdahulu, Timbalan Pengurus Besar PDC Datuk Abdul Rahim Isahak dalam ucapannya berkata konvensyen itu bertujuan membudayakan ilmu keusahawanan di sekolah seterusnya mendorong minat pelajar untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya mereka pada masa depan.

"Program ini berlangsung selama sembilan bulan iaitu dari bulan Februari hingga Oktober tahun lepas dan pelajar membentangkan hasil kerja mereka hari ini.

Kita lihat peserta menunjukkan kemampuan mengurus perniagaan dengan cara sistematik dan mencapai keuntungan ribuan ringgit," katanya. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Kajian Lapangan di Institut Biodiversiti Kebangsaan, Bukit Rengit, Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang

Kursus Papan Tanda Akrilik

Karnival Sains & Teknologi Peringkat Negeri Sembilan 2012